~5 SYARAT Manusia Dibenarkan Membuat Maksiat~
Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia
berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong
berikan aku nasihat.”
Setelah mendengar perkataan tersebut
Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu
melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”
Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat PERTAMA, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”
Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku
mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”
“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih
mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar
larangan-Nya?”
“Yang KEDUA,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!”
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.
Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah
kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu
melanggar segala laranganNya?”
“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat yang KETIGA. Ibrahim menjawab, “Kalau
kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat
terlihat oleh-Nya!”
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”
“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang KE EMPAT. Ibrahim
melanjutkan,“Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu,
katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu
bertaubat dan melakukan amal soleh.”
Kemudian lelaki itu
menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin
malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”
“Wahai Abdullah,
kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan
mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari
kemurkaan Allah?”
“Baiklah, apa syarat yang KELIMA ?”
Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang
hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau
ikut bersamanya.”
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf.
Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan
aku menolak kehendaknya.”
Dia tidak tahan lagi mendengar
perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat
kepada Allah.” Katanya sambil teresak-esak.
HadanAlloh Waiyyakum Ajmain..
Senin, 12 November 2012
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar